Thursday, April 1, 2010


DARIPADA Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang (mukmin) yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran padahal dia gagap sehingga sulit baginya membaca, maka dia mendapat pahala ganda.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), yang tersimpan dalam kitab cukup terpelihara (Lauhul Mahfuzh), yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk diakui bersih suci; al-Quran itu diturunkan daripada Allah Tuhan sekalian alam.” (Surah al-Waaqiah: 77-80)

Dalam kehidupan seharian seorang mukmin, pengajian al-Quran perlu dititikberatkan kerana melalui al-Quran Allah memberi petunjuk kepada hamba-Nya untuk mencapai keredaan dan keselamatan. Melalui al-Quran hamba-Nya dikeluarkan daripada kegelapan kepada cahaya yang terang.

Oleh yang demikian Allah mengangkat dan memuliakan orang yang suka membaca al-Quran seperti mana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kalian ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi)

Kebaikan membaca al-Quran antaranya, bagi orang yang membaca al-Quran dengan maksud untuk menghafalnya dan dilakukan dengan susah payah maka baginya dua kali pahala, iaitu pahala membaca dan pahala susah payah menghafalnya.

Sementara orang yang membaca al-Quran dengan lisan tertatih-tatih dan berat dirasakannya (gagap) maka baginya dua pahala. Sesungguhnya orang yang membaca al-Quran dan mengamalkannya lebih besar darjatnya daripada orang yang tidak membaca al-Quran.

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya orang yang di dalam dirinya tidak ada (tidak hafal) suatu ayat al-Quran pun, keadaannya sama dengan rumah yang kosong.”